Losyen Clindamycin Ubati Jerawat Degil dan Bernanah - Prettily Rare

Sunday, 31 March 2019

Losyen Clindamycin Ubati Jerawat Degil dan Bernanah

Hai semua,

Harini nak cerita fasal jerawat aka akne. Kalau korang baca posting-posting kita yang terdahulu, tentu korang akan perasan kita banyak dibelenggu masalah kulit sejak bulan November 2018. Sampaikan nak tengok cermin atau nak swafoto pun meluatlah.

Prettily Rare
Kalau muka licin dan bebas cela camni, muahahhaha! Bercermin jelah keje. Gitu!

Kali terakhir kita berdepan dengan masalah-masalah jerawat ni lebih kurang 12 tahun yang lalu jugaklah. Kulit kita ni dari remaja sebenarnya tak ada masalah sangat. Cantik je. Licin je. Kalau orang lain datang bulan banyak berjerawat, kita relaks je. Malah masa datang bulan tu lah kulit kita berseri-seri semacam. Kalah perempuan hamil atau wanita dilamun bercinta gitu.

Tapi lebih kurang dalam umur 18-19 tahun, masalah jerawat mulalah menghantui kita. Nak-nak bila dah mula melanjutkan pelajaran di Petaling Jaya. Pergghhhh.... Kulit memang buruk. Jerawat besar-besar dan bernanah terutamanya dekat bahagian dahi. Benci gilalah! Lepas tu jumpalah pakar kulit dan dipendekkan cerita, kulit kembali jelita setelah menempuh pelbagai kesengsaraan. Rasanya ada citer lebih detail dalam posting sebelum ni. Apa yang kita nak sampaikan, lepas kulit dah cantik, dari umur 21 tahun sampailah umur 33 tahun memang susahlah jerawat nak melekat kat muka lagi.

Pastu hujung tahun lepas, tetiba jerawat ni macam pungguk rindukan bulan lak, menyemak je kat muka kita. Grrrr.... Benci tau. Main jauh-jauh boleh tak? Yang geramnya, bukan jerawat biasa-biasa. Tapi jerawat besar dan bernanah. Lepas tu jenis tumbuh kat kawasan pusat muka (centre point). Sis ni kalau jerawat jenis tumbuh tepi telinga ke, bahagian dahi kat rambut ke, boleh tahan lagi. Ni dekat hidunglah, kat pipilah, eeeiiiiiiii, stress! Yang lebih geram, jerawat ni asyik tumbuh kat tempat yang samaaaaaaa je memanjang. Baru baik, tumbuh lagi. Baru baik, tumbuh lagi. Menguji kesabaran betul!

Masa ni tiba-tiba tah macam mana tah, mulalah teringat kekasih lama iaitu Dalacin T. Kalau korang nak tahu, salah satu preskripsi yang pakar kulit berikan waktu remaja dulu ialah Dalacin T nilah. Ada banyak lagi preskripsi lain mengikut peringkat rawatan, tapi Dalacin T ni memang kita tak dapat lupakan sebab bau dia bukan main menusuk hidung lagi. Mat Salleh kata pungent smell. Pastu Dalacin-T ni juga pedihkan mata dan keringkan kulit. Sebab tulah kita kata rawatan jerawat masa muda-muda dulu tu sengsara. Uwaaaa! Sampai sekarang kita tak pernah keji orang kulit berjerawat sebab kita pernah melaluinya.
PrettilyRare
Ni keluaran Pfizer packaging baru kalau tak silap

PrettilyRare
Masa doktor prescribe kat kita dulu packaging dia macam ni

Jadi kita pun laju-laju ke farmasi untuk dapatkan Dalacin T ni. Malangnya ahli farmasi memberitahu bahawa Dalacin T oleh Pfizer ni dah lama dah dihentikan pengeluaran atau dalam mat sallehnya discontinued. Terus rasa ada awan mendung di atas kepala kita. Pastu ahli farmasi kata pulak, tapi kalau awak tak kisah jenama lain, kami ada. Oh!!! Mengapa tak bilang awal-awal sih!! Sebab tulah tajuk kita tulis Clindamycin. Dalacin T tu sebenarnya nama glemer yang didaftarkan oleh Pfizer. Nama medikal dia Clindamycin. 

Oh ya, jangan tertipu dengan penerangan yang mengatakan clindamycin ni sejenis losyen yaaaaa. Kalau korang terbayang-bayangkan clindamycin topical lotion ni bagaikan losyen muka yang korang pakai tu, memang silap besar. Clindamycin topical lotion ni lebih kepada solution aka cecair. Memang mudah mengalir. Cecair bak air pulak tu. Tak tepu langsung. Jadi cara pakai hanyalah dab dab (tekap perlahan) pada bahagian bermasalah dua kali sehari iaitu pagi lepas cuci muka dan malam lepas cuci muka nak tidur. Takyah berangan nak tekap kuat-kuat. Nanti dia mengalir habis meleleh kat merata tempat.

Alhamdulillah, lepas pakai 2-3 minggu, muka kita dah mula menampakkan penambahbaikan yang mana jerawat yang tumbuh takdelah sebesar alam lagi. Malah takdelah bernanah sangat. Rasa bahagia sangat.

Yang paling membahagiakan lagi, lepas sapu ubat ni, still boleh bersolek. Ada sesetengah ubat jerawat memang tak digalakkan bersolek lepas menggunakannya sebab boleh menyebabkan pori-pori tersumbat dan sebagainya.

Sekarang, kita dah ceria semula lepas muka tiada masalah jerawat gedabak. Weeeee!! Bak kata orang, tak baik lokek ilmu dan mat salleh pulak kata, Sharing is Caring. Lagipun, sebelum artikel ni ditulis, kita dah buat carian di Google dan mendapati ramai yang ada ulasan bagus tentang produk ni. Malangnya, ramai tak jumpa Clindamycin disebabkan Pfizer dah tak keluarkan Dalacin T. Walhal, Clindamycin nilah Dalacin T. Tapi ramai orang tak tahu je.

PrettilyRare
Ni yang first kita beli baru-baru ni

PrettilyRare
Kali kedua pharmacist bagi jenama T3 pulak


Berikut sedikit penerangan fasal Dalacin T atau dikenali sebagai Clindamycin Lotion ni.

Apakah itu Clindamycin Topical Lotion (Dalacin T)?
Ubat ini adalah jenis Topikal Antibitiok dan anda hanya boleh dapatkannya secara sah daripada Ahli Farmasi. Dalacin T ni mengandungi antibiotik jenis Clindamycin Phosphate yang diuji secara klinikal dapat menghalang pertumbuhan bakteria Propionibacterium acnes yang banyak menyebabkan jerawat.


Berapa lamakah saya dapat nampak kesannya?
Biasanya ubat ini berkesan selepas 6 - 8 minggu menggunakannya. Jika selepas 8 minggu jerawat anda masih belum baik, anda perlu berjumpa doktor semual.

Oleh kerana Clindamycin ni sejenis antibiotik, maka sama seperti antibiotik lain, ia tidak boleh digunakan dalam jangka masa yang lama (lebih daripada 12 minggu). Penggunaan berterusan secara jangka masa panjang dikhuatiri akan menyebabkan bakteria jerawat anda bermutasi dan menjadi kebal kepada antibiotik (Antibiotic Resistance). Jadi, jangan lupa, gunakannya secara on off saja ya?

Ada apa-apa kesan sampingan?
Antara kesan sampingan yang sering dilaporkan selepas menggunakan ubat ini termasuklah kulit jadi kering/gatal, cirit-birit dan sakit perut atau perut rasa tidak selesa.

Bolehkah saya pakai ubat ini?
Ubat ini tidak boleh diambil oleh pesakit yang mempunyai masalah usus (inflammatory bowel disease, enteritis, ulcerative colitis) dan pesakit yang mempunyai sejarah penyakit usus berkaitan antibiotik.

Peringatan:
Larutan Dalacin-T ni MUDAH TERBAKAR. Jadi pastikan tiada api berdekatan anda semasa menggunakannya

Okey, sekian sahaja perkongsian tanpa jerawat dan tips kulit cantik kita buat kali ini.
Kalau rasa artikel ni bermanfaat, jangan lupa kongsikannya dan klik follow kita ya?

Muacks!! OXOXO

1 comment:

  1. yes!sis setuju dgn any product yang contain of Clindamycin! seriously sangat berkesan!!

    ReplyDelete