Tuesday 6 October 2020

Pengalaman Melakukan Pemeriksaan Kesihatan Penuh di Beacon Hospital, Petaling Jaya


Hai semua,

Harini nak cerita fasal pengalaman sis melakukan pemeriksaan kesihatan di Beacon Hospital, Petaling Jaya yang sis baru saja selesai jalani 2 minggu lepas. Nampaknya sis dan hospital sememangnya kuat jodoh. Mungkin lepas ni bertemu jodoh dengan doktor pakar pula. Siapa tahu? Kah!

Health screening
Sis tau, ada je yang takut kan nak p buat pemeriksaan kesihatan?


Okay sebelum citer lebih lanjut fasal pengalaman pemeriksaan kesihatan penuh di Beacon Hospital tempoh hari, mari kita ambil tahu dulu tentang perkara berikut:

Kenapa Kita Perlu Lakukan Pemeriksaan Kesihatan Penuh?

Biasalah, pada zaman sekarang ni, ramai yang bekerja di pejabat seharian suntuk dan tidak mengamalkan gaya hidup mahupun pemakanan yang sihat. Sis merupakan salah seorang yang terbukti bersalah dalam hal ini. Balik kerja dah penat sangat, mana larat nak bersenam? Makan pulak asyik nak yang sedap je. Nampak tular semua nak cuba. Semua ini menyumbang kepada faktor menghidapi penyakit-penyakit kronik mahupun tidak kronik walaupun pada usia muda.

Oleh kerana mencegah lebih baik daripada mengubati, maka kita-kita yang banyak fiil buruk begini pun disarankanlah untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebagai langkah pencegahan. Yang muda sikit bolehlah buat saringan kesihatan 2-3 tahun sekali. Namun bagi mereka yang sudah berusia 35 tahun dan ke atas, eloklah jadikannya sebagai pemeriksaan rutin.

Ya, sis tahu, ramai yang takut sebenarnya untuk hadapi kenyataan kot-kot terbukti mereka menghidapi masalah kesihatan. tapi bagi sis, lebih baiklah kita tahu awal supaya dapat persiapkan diri menghadapi kemungkinan daripada tahu-tahu dah parah je. Tak begitu? Lagi-lagilah sis yang dah berstatus anak yatim piatu dan ibu tunggal. Kalau ada apa-apa jadi kat sis, macam mana dengan anak-anak sis tu?

Makanya pada hari jadi tahun ni, sis hadiahkan diri sendiri pemeriksaan kesihatan penuh supaya lebih cakna tentang tahap kesihatan diri.

Pakej Saringan Korporat Beacon Hospital

Sebenarnya banyak saja hospital yang menawarkan pakej saringan atau pemeriksaan kesihatan penuh yang dirangka berdasarkan keperluan, bajet serta usia mereka yang ingin melakukannya.

Namun, atas saranan pihak syarikat dan rakan sekerja sendiri, sis telah memilih untuk melakukan pemeriksaan kesihatan penuh di Beacon Hospital kerana pakej yang ditawarkan tersebut adalah agak menyeluruh dan berpadanan dengan belanjawan yang diberikan.

Meh teropong jap apakah antara pemeriksaan yang sis telah lalui:

Pakej adalah termasuk:
a) BLOOD EXAMINATION 
Full Blood Examination, Lipid Studies, Liver Function Test, Renal Function Test, Fasting Glucose,
Urine FEME, ABO Blood Group + Rh, Hepatitis Bs Ag & Ab, HIV I & II Ab,FT 4 (Free Thyroxine)
Rheumatoid Arthritis Factor, Iron

b) PHYSICAL & IMAGING EXAMINATION
Chest X-Ray,Stress test- Treadmill , Bone Dexa, 12 –Lead Electrocardiogram (ECG), Total Body Composition & Fat Analysis (In Body), Visual Acuity Test

c) ADDITIONAL TEST
Ultrasound Abdomen & Pelvis, Ultrasound Breasts/ Mammogram, Pap smear, Cancer markers - AFP
( Liver ) , CEA ( Colon )

d) EXAMINATION & CONSULTATION BY DOCTOR
                          
                                           Pemeriksaan Kesihatan Penuh di Beacon Hospital, PJ
Corporate Package
Pakej Korporat oleh Beacon Hospital

                                             

Apa yang menarik kat Beacon ni sis rasa sebab ada sarapan dengan makan tengah hari selain hadiah korporat bagi sesiapa yang mengambil pakej pemeriksaan kesihatan penuh dengan mereka.

Kalau lebih daripada 4 orang pergi pula, ada pengangkutan disediakan untuk pergi dan balik. Ditambah pula kawan sis cakap prosesnya agak cepat dan sis pon malas nak mix and match pemeriksaan kesihatan kat hospital lain, makanya sis pun cuba jelah di Beacon ni.

Lagipun, bila semak dengan bos sis yang buat pemeriksaan kesihatan kat Pantai Medical Centre dengan harga yang sama, adalah beberapa ujian yang tak termasuk dalam pakej kat sana. Contohnya Bone Dexa, ujian untuk menentukan ketumpatan tulang dan kalsium kita. Hei! Kan penting tu ujian tu. Al maklumlah perempuanlah yang biasa kena osteoporosis tu.

Persiapan Sebelum Melakukan Pemeriksaan Kesihatan Penuh:
-Puasa sehari sebelum 12 malam atau sekurang-kurangnya 8 jam sebelum hari pemeriksaan (pengambilan air masak dibenarkan)
-Pastikan anda tidak datang bulan sewaktu tarikh pemeriksaan kesihatan penuh
-Maklumkan kepada petugas kesihatan jika anda mengambil sebarang ubat-ubatan dan jika perlu, bawa ubat-ubatan tersebut
-Jangan pakai kanta lekap, sebaliknya pakai cermin mata (untuk ujian penglihatan)
-Bawa kasut sukan (bagi yang melakukan stress test untuk berlari di atas threadmill)

Bagi wanita pula:
-Disarankan melakukan ujian paps smear 5-7 hari sebelum atau selepas datang bulan
-Jangan melakukan hubungan intim 48 jam sebelum pemeriksaan dilakukan
-Maklumkan kepada petugas kesihatan jika anda menyusu badan atau mengandung
-Jangan gunakan deodoran pada bahagian dada


Hari Pemeriksaan Kesihatan

Makanya pada pagi-pagi hari pemeriksaan lagi sis dah sampai kat Beacon Hospital ni. Memandangkan sis tak pernah pergi Beacon Hospital ni, gusar lah juga takut susah nak cari tempat letak kereta bagai. Tapi puas hatilah, ha amik kau! Satu tanah lapang depan spital tu korang leh letak kereta.

Sis sampai dalam pukul 7 lebeh kot. Tapi hari tu agaknya memang tak bernasib baik kot sebab punyalah ramai manusia. Macam biasa, kalau nak datang hospital zaman Covid-19 ni, kenalah periksa suhu lah itulah inilah dulu kat khemah depan hospital tu.

Lepas dah setel semua, sis diminta naik ke tingkat satu. Lepas tu, macam biasalah ambil nombor, daftar diberikan senarai semak dan diminta untuk menukar pakaian. Makanya, kenalah salin baju pesakit hospital tu. Lepas tu sis diberikan loker yang mana semua barangan perlu diletak di dalam loker kecuali senarai semak dan telefon bimbit korang je.


senarai semak penuh
Nilah senarai semak sis. Dah jadi sambal belacan sebab asyik pegang je


Maka bermulalah proses korang menjadi tikus makmal. Kena ambil darah, ambil ujian air kencing, ultrasound dah sebagainya. Dah lah puasa, sampai-sampai dah nampak terhidang sarapan, tapi selagi tak dibenarkan makan, selagi tulah korang takleh makan.

Yang tak bestnya ujian ultrasound tulah, kena pastikan pundi kencing penuh dulu. Maka kenalah minum banyak-banyak air. Tapi sis pula seorang yang lawas, barisan plak panjang. Hmm... tah berapa kali kena minum kencing minum kencing. Penat betul.

Memang agak lama juga waktu menunggunya, jadi pastikan korang caj bateri telefon bimbit korang penuh-penuh tau. Kalau tak, tentu bosan. Lepas siap semua ujian makmal, vital parameter dan imaging, barulah diorang bagi makan supaya tak pengsan bila berlari kat threadmill nanti. Masa tu dah tengah hari dah. Makanya melepaslah sarapan sis. Yang paling sedihnya, makanan tengah hari pon dah ilek.

Apa yang buat sis paling bengang, awal-awal petugas kat situ tak nak inform sis patutnya lagi awal lagi dah boleh makan. Pastu siap cakap lagi pakej sis tak termasuk stress test. Heish... sungguh mendatangkan kemarahan. Itu pon padahal nak biarkan je sis lari walaupon belum makan. Yang lagi geram, orang yang beratur kemudian leh buat stress test dulu. Waduh-waduh! Memang hangry sis dibuatnya.

Mujurlah dia perasan ada memek tak puas hati kat muka sis bila sis kata tak ada makanan dah. Terus dia minta F&B top up. Lagipon ramai juga yang tak makan lagi masa tu. Kesian. Dah la puasa, tak dapat sarapan, nak makan lunch pun dah abis.

Lepas drama stress test dan selesai buat stress test, makanya sis pun dibenarkan untuk tukar balik pakaian dan menunggu keputusan ujian. Kira berdebar jugalah masa tu. Kotlah ada penyakit yang menakutkan ke apa ke. Siapa nak jaga my kiddos kannnn....

carta aliran
Lebih kurang beginilah carta aliran yang sepatutnya


Oh ya, Oleh kerana sis baru saja habis datang bulan 3-4 hari, jadi sis kena datang balik minggu depannya untuk buat ujian paps smear sahaja. Lagipun ujian pap smears ni tak boleh dapat keputusannya terus dan biasanya akan die-melkan lepas seminggu. Sampai sekarang ni pon masih tak dapat lagi keputusannya walaupun dah seminggu sehari. Gitu!

Sampai giliran je, sis dipanggil untuk masuk ke bilik doktor. Secara keseluruhannya, sis ni banyak lemak dan tinggi kolestrol. Makanya dinasihatkan untuk kurangkan berat badan serta elak makan berlemak. Yang anehnya lagi, sis juga kurang sodium dan zat besi (iron). Doktor sarankan ambil makanan tambahan dan mengamalkan gaya hidup lebih sihat lepas ni.

Lepas jumpa doktor, sis pun diberikan hadiah korporat sis kali ini yang berupa sebuah pengisar peribadi (personal blender). Kawan sis dulu dapat bagasi. Agaknya musim Covid-19 ni diorang rasa bagasi (luggage) dah tak relevan kot. Tu yang dia tukar jadi blender ni je. Sis sapu je. Janji ada sesuatu. Jadilah daripada tak dapat apa-apa. Gitu!


Pemeriksaan Kesihatan Penuh di Beacon Hospital, PJ
Hadiah yang diberikan

                                          
Isnin minggu lepas, sis datang pula buat paps smear. Suruh datang awal-awal pagi, tapi dah sampai katanya doktor pukul 8.30 baru sampai. Pfftt... bengang je dengar. Ynag lagi bengang, doktor pukul 9 baru sampai. Mujurlah sis pesakit nombor satu dah lepas buat leh terus blah. Hari Isnin tu tak ramai plak orang. Makanya kalau korang nak datang buat pemeriksaan kesihatan, sangat-sangat disarankan untuk tanya, ramai tak orang buat pemeriksaan haritu.

Sis geram juga, patutnya untuk pemeriksaan kesihatan zaman Covid-19 ni, tolonglah hadkan jumlah pesakit supaya waktu menunggu lebih pendek. Ni idok! Hish.

Okay, kesimpulannya sis rungkaikan pengalaman pemeriksaan kesihatan penuh di Beacon Hospital ni seperti demikian:

Servis klinikal: 4/5
Servis pelanggan: 2/5
Pakej dan Harga: 4/5
Makanan dan Minuman: 1/5
Tempat Letak Kereta: 3/5


1 comment:

  1. Hi just wondering , blood test need to go to lab or at health screening centre?

    ReplyDelete