Thursday 31 December 2020

Pengalaman Sunatkan Anak Lelaki 8 Tahun


Assalamualaikum semua,

Harini nak cerita pengalaman sunatkan anak lelaki sis yang berusia 8 tahun. Memandangkan tahun ni kita semua dilanda pandemik yang membuatkan kita terpaksa menjalani norma baharu tanpa boleh melancong ke sana ke sini, ramai je yang ada lebihan cuti. Contohnya, saya sendirilah. Banyak je cuti. Tapi atas dasar polisi syarikat, nak tak nak kena juga habiskan cuti.
 
Sunat

Makanya, sis pun memilih untuk menyelesaikan satu tanggungjawab terhadap anak lelaki sendiri iaitu mengkhatankan atau sunatkan dia. Lagipun hujung tahun ni budak-budak semua cuti sekolah sampai 20 Januari 2021. Kalau cuti duduk rumah je pun tak buat apa-apa. Lagi bagus kalau kita manfaatkannya dengan sesuatu yang bermakna. Tak ke gitu?

Maka selepas membaca dan bertanya sana sini, saya pun ambil keputusan untuk sunatkan je anak jantan sis yang berusia 8 tahun. Tapi bukan secara mengejutlah. Sebab sejak dia berusia 7 tahun lagi dah maklumkan dia yang lambat-laun dia kena bersunat juga. Saja bina persiapan dari segi mental dia dari awal-awal. Bila dia tahu sunat atau berkhatan tu satu kewajipan, dia pun sendiri ada kesedaran fasal fasa penting tu. Kadang-kadang Hariz akan bercerita, kawan atau jiran dia dah bersunat, dia cerita dia tengok cerita Upin Ipin sunat tu tak sakit pun. Siap ulang-ulang lagi beritahu maknya.

Maka selepas ditelaah, sis pun ambil keputusan untuk sunatkan Hariz di Klinik Sofia, Seksyen 23 Shah Alam. Memula nak pergi Klinik Dr. Rosli yang disyorkan oleh jiran sendiri. Tapi masa tanya hujung bulan November tu, Klinik Dr. Rosli masih belum buka slot. Malaslah sis nak tunggu. Kita nak kena rancang cuti awal-awal. Kalau tak nanti bos bising. Bila ditanya Klinik Sofea, slot dah buka, sis terus tempah tarikh 12/12/2020. Ni kebetulan je tarikh cantik. Lagipun waktu tu sesuai sebab kerja dan projek banyak dah selesai.
Klinik Sofia
 Klinik Sofia, Seksyen 23 Shah Alam, Selangor Sumber:Practo dot com

Lepas je dah tempah tarikh tu, terus beritahu pengasuh dan Hariz. Pada masa yang sama, beli kain pelikat dan seluar dalam sunat dari Shoppe. Si Hariz punyalah positif sampai tiap-tiap hari dia kira detik aka countdown berapa hari lagi dia nak kena sunat. Waduh! Bukan main teruja kau ya nak kena sunat? Balik je dari pejabat, si bulat manja ni akan cakap, "Mummy, lagi 7 hari je kan kita nak kena sunat?" Comel je. Kita pun rasa, okeylah kalau dia teguh dan yakin cenggini.

Pada tanggal 12/12/2020, awal-awal pagi lagi sis dah bersiap dan kejutkan Hariz. Mana taknya? Janji temu kitorang pukul 9.30 pagi. Nak bagi si bulat ni sarapan, mandi dan bersiap lagi. Masa awal pagi tu, dah boleh nampak dah si bulat ni mula cemas. Muka dia cuak gitulah. Sis sediakan baju dan kain pelikat untuk dia. Suruh dia pakai terus. Lepas sarapan, kitorang terus bertolak. Sampai sana dalam 9.20 pagi. Pastu g kaunter klinik daftar dan sebagainya. Hariz pun dipanggil masuk.

Masa masuk tu dia dah mula bersungut tak nak sunat. Bila masuk je klinik mulalah dia cuak. Sis dahlah pergi berdua je dengan dia. Nak tak nak kena hadap jelah. Sis cuba pujuk dia. Tapi dia dah mula takut, dia cakap sakit, tak nak sunat. Tapi doktor ngan misi tenangkan.
 
Hariz Rizki
Menunggu giliran

 

Proses Bersunat
 
Mula-mula sekali dokor sapu swab kat sekeliling bahagian sulit Hariz. Masa tu mamat tu dah tegang dah seluruh badan. Cuak sangat. Pastu bila doktor cucuk ubat bius yang pertama je, Hariz dah mula menggelupur dan mengamuk kesakitan. Terjerit-jeritlah anak jantan sorang kat situ. Bila dia dah camtu, sis pun cuak jugalah. Doktor minta sis tutup pandangan dia daripada melihat apa yang doktor lakukan kat alat sulit dia. Untuk pujuk dia, terpaksalah sis keluarkan telefon bimbit bagi dia tengok Youtube. Tapi tu pun dia masih meronta-ronta dari semasa ke semasa sambil bagi 'amaran' kat sis ngan doktor yang dia tak nak laser. (Waduh! anak, dah mak ko memang pilih sunat laser).
 
Lepas dalam 5 kali suntikan bius di sekeliling alat sulit. Hariz dah tak rasa sakit dan mula fokus kat cerita Ultraman dia. Tapi tu pun dia selalu terjah dan cuba nak bangun tengok apa doktor buat kat alat sulit dia sambil mengomel, jangan laser eh! Doktor pun terkejut-kejutlah bila Hariz sikit-sikit buat terjahan mengejut kat doktor. Puaslah doktor pujuk cakap dia tak laser pun, cuma bersihkan alat sulit dia je. Banyak sangat kotoran.
 
Sis pulak sibuk nak cover pandangan dia daripada nampak apa yang dah terjadi kat alat sulit dia. Pada masa yang sama, sis pun hampir pengsan sebab lemah jantung tengok alat sulit dia berdarah-darah kena laser. Banyak plak tu. Dah lah terkejut anak over-reacting, terkejut pula tengok alat sulit berdarah-darah. 

Tengah doktor mula tenang dan fokus nak suant dia tu, mamat ni buat perangai lagi bila terhidu bau terbakar. Jangan ditanya bau terbakar apa. Bau kulit yang putus lah terkena laser tu. Bila dia terhidu je terus dia nak bangun, sambil tanya,"Doktor laser eh nonet saya?" Aduh! Separuh jiwaku pergi bila dia main nak bangun je terus camtu. Terlaser seluruh alat sulit kau karang anak oi! Masuk Majalah Tiga pulak kang.

Lepas dah siap laser semua kulit lebihan, sekali lagi sis rasa nak pengsan tengok doktor berpeluh-peluh jahit keliling alat sulit anak sis. Masa ni Hariz masih lagi tak putus-putus tanya, tak pakai laser kan? Rasa nak sumbat je mulut dia dengan kain. Bising nau. Alhamdulillah. Lepas jahit, doktor kata semuanya okey. Dah boleh balik. Si Hariz sibuk nak tengok alat sulit dia yang dah kena sunat. Siap tanya, ni tak pakai laser kan? Terpaksalah kitorang jawab, tak, pakai gunting je.
 
Usai berkhatan
Selesi bersunat/berkhatan


Selepas Sunat dan Proses Pemulihan

Hari Pertama dan Kedua
Lepas sunat, doktor pun bagilah ubat-ubatan. Ada ubat sakit mata untuk basmi kuman. Kena sapu sekeliling jahitan alat sulit, ada antibiotik dan juga ubat tahan sakit. Oleh kerana si bulat berat sangat. Baru 8 tahun dah 40kg, doktor takut ubat sirap tak memadai dosnya untuk mengekang kesakitan dia. Jadi sis pun minta dua-dua, maka doktor bagi jelah ubat sirap dan pil. Lagipun Hariz tak pernah lagi makan pil. Selama ni dia memang makan ubat sirap je. Kang tak reti telan pil, parah plak sis.

Lepas dah dapat je ubat, sis pun angkutlah si bulat ni balik rumah dengan ubat-ubatan. Maka di situ bermulalah episod drama swasta terkini dalam hidup sis. Kesilapan pertama sis buat ialah lepas keluar dari klinik, tak terus bagi ubat tahan sakit. Sampai je rumah, Si Hariz dah mula meraung-raung kesakitan. Sakit! Sakit katanya. Dah macam orang histerialah. Sis pun pujuk dia makan pil. Nasib baik mamat ni hebat makan pil walaupun baru pertama kali makan pil. Kagumlah sis.

Tu pun 2 jam dia mengamuk tak sudah sebab sakit. Siap marah kat sis lah kononnya dia dah cakap dah tak nak sunat, tapi sis yang suruh juga. Choy! Selama ni siapa tah yang sibuk menghitung hari? Maka migrainlah seharian sis mengadap kerenah dia. Lepas dalam 2 jam tu dia dah mula tenang. Mungkin sebab ubat tahan sakit dah mula berfungsi. Sis suruh je dia baring rehat. Sis nak masak makanan pantang dia. Pada hari pertama tu je, rasanya dalam lapan hingga belasan biji pil jugalah dia telan. Asyik sakit je. 

Paling kesian bila dia rasa nak kencing, tapi dia tak berani nak kencing. Puaslah sis pujuk cakap tak sakit. Sebab mengikut bacaan, memang patutnya kencing tak sakit. Kalau waktu kencing sakit, maknanya prosedur bersunat tu ada masalah seperti laluan kencing tersumbat dsb. Setengah jam juga kot pujuk dia kencing, pastu bila dia dah cuba, eh tak sakit. Baru dia berani kencing dengan lancarnya.
Dah kencing, cabaran lain pula mendatang. Dia takut pulak nak cebuk. Tu setengah jam lagi nak pujuk. Sis lalukan je air kat hujung alat sulit dia. Lepas tu lap dengan kain antiseptik Dettol dan keringkan dengan tisu. Pastu sapu balik ubat doktor.

Patutnya hari pertama tu kena banyakkan berehat dan tidur serta kurangkan bergerak. Tapi si bulat ni tak habis-habis nak tengok sis pergi mana. Takut nau kena tinggal. Dengan jalan terkengkang-kengkang, sibuk nak mengekor sis ke sana sini. Malam tu memang sis takleh tidur lena. Sikit-sikit kena cuit si Hariz,  cian dia mengadu sakit. Kenalah bagi panadol dia tu. Pastu pujuk dia tidur.

Hari Kedua pun samalah rutin dia. Tapi dia dah lagi berani nak buang air kecil dan besar. Tetap asyik mengadu sakit. Sis tengok alat sulit dia tu memang hodoh benar. Dengan bengkaknya, dengan lelehan cecair dan jahitannya, dengan kuping lagi. Aduh! Migrain lagi sis. Tak sangka begitu hodoh nonet setelah disunat. Seram pun ya. Almaklumlah sis bukan lelaki, tak pernah lagi tengok nonet kena sunat. Siap mesej jiran lagi, memang begitukah rupanya? Tak lupa juga, Klinik Sofia pun sis whatsapp, normalkah alat sulit anak sis ni? Mana taknya? Bahan bacaan dan gambar rujukan kat dalam internet memang tak banyak. Tanpa perbandingan, macam mana kita nak tahu sama ada alat sulit anak kita tu normal atau tak.

Mujurlah kedua-duanya membantu. Jiran sarankan sis untuk beli saline water untuk cuci alat sulit Hariz, siap suruh beli cawan kertas untuk rendam alat sulit + jadikan pelindung bila Hariz dah mula mandi nanti. Pada masa yang sama, sis juga banyakkan bacaan. Sis perasan perkongsian mak-mak lain biasanya tak berapa menyeluruh. Mungkin sebab kebanyakannya suami yang banyak jaga. Sis pulak tak bersuami kan... Haish. Sedih. Sis juga baca tips yang doktor-doktor kongsikan tentang kuping dan cecair yang mengalir dari alat sulit anak. Kena pandai bezakan antara cecair darah putih dan nanah. Kalau nanah maknanya serius dan ada keradangan. Kalau sekadar cecair perlindungan tu, normal.
 
Set Penjagaan
Antara yang diguna pakai untuk jaga Hariz bersunat


Hari Ketiga-Kelima

Masuk hari ketiga je, sis dah suruh Hariz mandi. Pada masa yang sama, sis pujuk dia untuk rendam alat sulit dia dalam saline water dalam paper cup. Memula kena pujuk dia mandi. Masa mandi tu tutup alat sulit dia dengan cawan kertas + cawan plastik (cawan kertas bahagian dalam, cawan plastik kat luar). Sis ler tukang pegangkan cawan tu sementara dia bermandi-manda. Lepas dah mandi, keringkan satu badan. Sis tuang saline water dalam cawan kertas dan rendamkan alat sulit dia dalam cawan tu selama 3 minit. Untuk mengisi kebosanan dia, sis suruh lah dia menyanyi sambil rendam alat sulit. Memula nak suruh rendam tu pun, sejam bergaduh. Lepas tu sis rendam je alat sulit dia dalam saline water tu, terdiam dia. Pastu dia kata rasa selesa. Ha, barulah dia nak rendam alat sulit dia.

Masa jaga Hariz jaga pantang ni, baru sis teringat fasal Nanosilver Protection Spray yang sis buat review haritu. Sis teringat salah satu fungsi dia ialah membunuh kuman. Makanya sis pun spray kat alat sulit Hariz, biar kering, pastu dab dengan tisu sebelum sapu ubat sakit mata. Setiap kali lepas dia kencing dan berak pun, sis ulang langkah yang sama. Masa hari ketiga hingga ke lima ni, pil tahan sakit dia dah berkurangan ke 2 -3 jam sebiji je. Tak kerap macam hari pertama dan kedua.
 
Tapi waktu malam masih lagi tak boleh tidur lena macam biasa sebab asyik kena cuit ngan Hariz je. Bangunlah bagi dia makan ubat tahan sakit.


Hari Keenam -Kelapan

Alat sulit dia masih lagi hodoh dan sangat bengkak. Kuping banyak terjadi di sekeliling. Tapi dia dah lebih yakin untuk urus diri sendiri. Dia dah boleh mandi sendiri, rendamkan dan cuci alat sulit dia sendiri, dah konpiden nak kencing berak macam biasa. Selera pun dah semakin baik. Tapi tulah. Alat sulit dia memang melekit semacam je. Teruskan je rutin rendah air saline tu etc. Jalan pun dah tak kengkang sangat. Dah lagi ceria. Tak adalah asyik teriak sakit je.
 
Tapi waktu malam masih lagi tak boleh tidur lena macam biasa sebab asyik kena cuit ngan Hariz je. Bangunlah bagi dia makan ubat tahan sakit. 

Hariz makan
Berselera dah dia makan bila semakin sihat. Siap tambah lada hitam lagi




Hari Kesembilan- Kesebelas

Alat sulit Hariz dah semakin surut bengkak. Kuping banyak luruh apabila direndah air saline. Dah nampak sesetengah benang dah mula menghilang. Bahagian kulit yang kuping luruh, nampak semakin jelita. Tapi bentuk masih lagi tak jelita. Sekarang sehari 2-3 biji je ubat tahan sakit dia mintak. Jalan pun dah tegak lurus macam biasa. Dah mula boleh pakai seluar.

Tidur malam mula tidak diganggu. Hehehe...


Hari Kedua Belas-Empat Belas

Kehidupan dah macam biasa. Selera pun dah meningkat, emosi pun semakin ceria. Tapi still kena berpantang macam biasa. Pernah si Hariz ni teruja lain macam bila jumpa kawan, pastu dia rasa sakit sampai asyik terbaring je. Lepas tu barulah dia behave sikit.

Kesimpulannya, jaga anak bersunat dan berpantang sebab sunat ni memang mencabar terutamanya bagi orang yang langsung tak ada pengalaman seperti sis. Dahlah jaga sorang-sorang. Tapi sis rasa sangat bersyukur sebab berkat bacaan, tunjuk ajar kawan-kawan dan jiran serta rezeki dari Allah s.w.t, tak ada komplikasi bersunat seperti jangkitan kuman dan sebagainya. Ada juga terbaca sesetengah ibu bapa datang balik jumpa doktor sebab kuping terlalu berkumpul dan luka lambat pulih sebab penjagaan yang tidak cukup rapi. Ada yang bernanah, bentan dan sebagainya.
 
Dalam seminggu lepas Hariz bersunat, terbaca pula fasal kanak-kanak malang yang terpaksa dikejarkan ke hospital sebab terlebih potong kulit sewaktu bersunat. Allahu! Seram dan seriau rasanya. Kanak-kanak tu pula bersunat lebih kurang sama waktunya dengan Hariz je.
 
Lepas habis pantang 14 hari. Hariz terus berseronok dan berparti di Port Dickson selama 2 hari sambil berendam dalam kolam. Sekarang dia dah jalani kehidupan seperti biasa dah. (Kah!)
 
Berendam
Hari ke-15, terus mandi-manda dan berendam

 
Sekian pengalaman sis sunatkan anak jantan kesayangan. Mujurlah anak jantan seorang je. Tak sanggup nak hadap lagi.
 
Korang pula macam mana? Meh kongsikan kat ruangan komen

Da~~~
 
 
 Baca juga:



3 comments: