Thursday 26 April 2018

Pilih Bos Baik Atau Syarikat Baik?


Tangga Kerjaya.... Semua Ingin Panjat Menuju Kejayaan

Kadangkala dalam hidup ini, kita dilanda dilema untuk memilih antara bos baik atau syarikat yang baik.

Bagi saya, antara kedua-dua ini, sentiasalah utamakan bos yang baik dan bukannya syarikat yang baik. Biar saya huraikan kenapa:

Yang pertama, bukan syarikat yang menilai anda. Sebaliknya,bos andalah yang menilai anda. Jarang-jarang sekali, syarikat yang akan membimbing anda, tetapi sebaliknya, boslah yang membimbing anda. Tahniah jika anda mempunyai pasukan atau senior baik yang dapat membimbing dan mewujudkan persekitaran yang baik, tetapi jika hal ini tidak mendapat pengiktirafan daripada bos anda, kebanyakan masanya, sia-sia sahajalah usaha anda dalam menyemai sumbangan dan prestasi yang baik.

Rakan sekerja mungkin dapat menceriakan hari-hari anda, syarikat yang baik mungkin dapat menjamin masa depan anda dengan pakej gaji dan manfaat yang menyeluruh, tetapi tanpa bos yang baik, kebiasaannya masa depan anda tidak akan ke mana.

Yang keduanya, jika anda bekerja di sebuah syarikat yang baik tetapi tanpa bos yang baik, mungkin anda akan sering akan dianaktirikan. Akibatnya, anda bukan sahaja tidak dapat kenaikan gaji atau bayaran bonus yang anda mahukan, malah, jika bos tersebut jenis yang suka mencari salah, berat sebelah ataupun kuku besi, pasti anda akan jadi lebih tertekan, bukan?

Biar saya beritahu, jarang-jarang sekali kakitangan jadi tertekan di tempat kerja kerana bebanan kerja ataupun kesukaran bekerja, tetapi selalunya, kerana tertekan dengan orang dan persekitaran, lebih-lebih lagi jika orang tersebut ialah bos anda, ataupun orang kesayangan bos anda. Bos yang baik sudah tentunya takkan menjadi seorang yang pilih kasih. Malah, bos yang baik juga sepatutnya tahu mengendalikan masalah kakitangan dengan cara yang berdiplomasi.

Kalau anda katakan anda tertekan kerana bebanan kerja atau kesukaran bekerja, bukankah itu juga kerana ketidakupayaan bos anda dalam mengendalikannya? Lambat-laun, tentu anda akan angkat kaki juga kerana terlalu kecewa.

Percayalah! Jika anda mempunyai bos yang baik, sekalipun anda terpaksa bekerja di bawah syarikat yang kurang baik sekalipun, tentu anda akan rasa berbaloi kerana nasib anda terbela.

Bos yang baik bukan sahaja seorang bos yang sering bimbingan dan tunjuk ajar kepada anda, tetapi juga seorang bos yang memahami dan bertimbang rasa.

Bos seperti ini sangat sukar didapati dan jika anda bertuah kerana dapat bos seperti ini, fikirlah masak-masak sebelum meninggalkannya untuk sebuah syarikat yang mugkin nampak gah dan dapat menawarkan pakej manfaat yang lebih baik, tetapi tidak semestinya dapat menjamin masa depan dan perkembangan kerjaya anda lagi.

Bos yang baik mampu mengetuai kakitangannya ke arah kejayaan

Rata-rata daripada pengamatan saya selama sebelas tahun bekerja serta pengalaman dan perkongsian rakan-rakan, kakitangan yang mempunyai bos yang baik pastinya lebih gembira. Malah ada yang sanggup terus bertahan di sebuah syarikat yang tidak menjanjikan manfaat atau masa depan yang baik hanya kerana bos mereka seorang yang baik. Ada yang terus berkhidmat dengan bos yang baik walaupun berkali-kali menerima tawaran pekerjaan dengan syarikat-syarikat yang baik. Malah ada yang sanggup mengikut bos mereka ke mana-mana setiap kali bos mereka ditukarkan bahagian, jabatan ataupun menerima peluang pekerjaaan yang lain.

Kenapa? Semuanya kerana mereka tahu bukannya senang untuk dapat bos yang baik. Mungkin mudah untuk anda mendapatkan pekerjaaan di syarikat lain atau syarikat yang lebih baik, dengan manfaat yang lebih baik, tetapi belum tentu lagi anda boleh dapat bekerja dengan seorang bos yang baik. Banyak peluang pekerjaaan yang baik di luar sana, atau syarikat yang menjanjikn manfaat yang baik, tetapi tidak bos yang baik. Bos yang baik itu bagaikan mutiara di dalam lautan nan luas, teramat sukar untuk dicari.

Ini lebih-lebih lagi benar bagi mereka yang pernah bekerja dengan bos yang tidak baik, atau lebih menakutkan lagi, bos yang teruk. Bos yang teruk akan membuatkan hidup anda bagaikan satu igaun dan mimpi ngeri yang bukan sahaja menghantui anda sewaktu kerja, tetapi juga setelah anda pulang dari tempat kerja. Secara purata kita menghabiska 1 per 3 daripada waktu yang ada untuk bekerja. Nah, bayangkan kalau anda terpaksa bekerja dengan bos yang teruk. Fikir sahaja sudah cukup untuk membuatkan anda terasa sengatnya.

Bos puaka ada di mana-mana

Nah, mari kita lihat apakah antara igauan yang berpunca daripada bos-bos yang teruk ini. Bos yang teruk ini biasanya:

1. Tidak Mempunyai Arah Tuju

Ada bos yang semuanya baik, tetapi tidak mempunyai arah tuju. Sudahnya, semua perkara yang dilakukan bagaikan caca merba kerana mereka sendiri tidak tahu apa yang mereka mahukan. Jadi apa sahaja yang anda berikan atau apa sahaja kerja anda, semuanya disuruhnya tambah baik. Padahal dia sendiri pun tak tahu apa yang perlu ditambah baik. Diserahkannya balik kepada kamu secara bulat-bulat.

2. Terlalu Suka Mengarah

Apa sahaja yang diterimanya daripada bos atasan, semuanya ditolak balik ke anak-anak buahnya. Kerjanya tidak lain dan tidak bukan hanya mengarah sahaja. Sampai masa, dia tahu dia dapat apa yang diarahkannya itu. Kalau tak siap, jaga-jaga!

3. Suka Mencari Salah

Jangan tak tahu, ada juga bos begini ya! Beribu-ribu jasa dan sumbangan anda sebelum ini semuanya tak dihargainya. Sebab baginya, semua tu dah sememangnya tugas dan tanggungjawab anda. Tetapi kalau ada sahaja salah sedikit. Habislah kamu. Dicopnya tidak pandai buat kerja, kerja mudah pun tak pandai buat, disindirnya bagaimana kamu buat kerja? Semuanya dihamburnya. Ish, ish, ish....

4. Menolak Tanggungjawab.

Ha, ini lagi menarik. Bos yang suka mencari salah ni biasanya juga gemar menolak tanggungjawab. Yelah, dia mana pernah buat salah. Kakitangannya sahaja yang tidak pandai buat kerja. Walhal tugasan bos itu juga menyemak kerja kakitangannya. Lagi-lagi kalau dia sudah semak tetapi tetap juga salah, tak tahu pula nak ambil tanggungjawab yang dia juga bersalah, sebaliknya ditolak bulat-bulat tanggungjawab itu kepada kakitangannya.

5. Terlalu Mengongkong

Ada juga bos yang gemar mengongkong dan 'micormanage'. Sebelum hantar apa-apa emel, semuanya perlu disemaknya dahulu. Sebelum buat apa-apa keputusan hatta keputusan kecil nak mohon alat tulis pun, semua kena minta kebenarannya. Hasilnya? Kakitangan dinafikan hak untuk membuat keputusan.

6. Kuat syak wasangka

Bos macam ni tak percaya pada anak buahnya. Biasanya sebab tak percayalah juga dia akan mengongkong. Tetapi ada juga yang hanya kuat syak wasangka tetapi tidak mengongkong. Bos macam ni diibaratkan seperti pasangan kuat cemburu. Ada sahaja andaian buruk pada anak buahnya. Boleh gila kakitangan dibuatnya.

7. Biadap dan tidak profesional

Yang ni rasanya paling sukar nak tahan. Siapa boleh tahan dengan bos yang biadap dan tidak profesional? Ish, yang ni sahaja dah boleh buat karangan panjang sebab banyak juga jenis bos yang biadap dan tak profesional ni. Ada yang jenis mencarut, ada yang jenis menengking kakitangan depan orang lain, tak kurang juga jenis yang gemar mengenakan kakitangan.
Beza bos baik dan bos yang ehem...
                                     
Pokoknya apa yang saya nak sampaikan ialah, betapa sengsaranya kalau kamu kerja di syarikat yang manfaatnya pelbagai, tapi mempunyai bos yang tidak baik. Bagi saya, bos yang baik itu sememangnya lebih penting daripada syarikat yang baik.

Makanya, berbahagia dan bersyukurlah bagi mereka yang mempunyai bos yang baik dan syarikat yang baik. Bagi mereka yang bekerja dalam syarikat yang tidak baik, tetapi bos baik atau sebaliknya tetap bersyukurlah kerana masih ada yang baik.

Bagi mereka yang bekerja dengan bos tak baik, syarikat pun tak baik. Bersyukur juga kerana masih mempunyai pekerjaan. Tetapi dalam diam-diam tu, jangan pula lupa kemaskini resume anda, cuba-cubalah nasib. Siapa tahu, mungkin nasib anda boleh berubah?

Prettily Rare


Baca juga:
Patut Ke Dapatkan Kerja Pakai Kabel
Senarai 7 Hadiah Yang Paling Mengecewakan
Batalkan Niat Dekati Ibu Tunggal Jikalau Kamu....
8 Sebab Anda Tak Dipanggil Untuk Temuduga
Tips Pelbagaikan Sumber Pendapatan
Rahsia Semakin Berusia Semakin Cantik
Aplikasi Pantau Kesihatan Kewangan
10 Nasihat Kepada Wanita Berusia 30-an
Pentingnya Bahasa Cina Sebagai Bahasa Ketiga

2 comments:

  1. Sis, mcm sgt ber-pengalaman tentang bos2 teruk. Betul tu, kalau dpt bos baik, susah senang pun kita sanggup hadapi bersama. Tapi kadang2 ada jg bos yg nmpk baik, tp byk mendatangkan mslh di kmdn hari.

    ReplyDelete
  2. Bos baik lebih elok dari syarikat baik. Sebab kita refer direct dengan bos kita, dan bos tu yang lebih kenal perangai orang bawah dia. Jadi secara tak langsung, bos baik ni ke mana-mana pun, orang bawahan akan setia mengikut, tak kiralah dalam syarikat mahupun di luar. ;)

    ReplyDelete