Thursday, 30 April 2020

Cara dan Pengalaman Batalkan Tempahan Airbnb


Hai semua,

Harini nak cerita fasal tentang cara dan pengalaman saya batalkan tempahan Airbnb dan dapatkan semula 100% bayaran walaupun kurang daripada tempoh pembatalan tempahan tanpa penalti.

Airbnb, salah satu penginapan pilihan sis sewaktu melancong
Kisahnya, saya telahpun membuat perancangan untuk melancong ke Melbourne, Australia pada 20-26 Mac 2020. Semua persiapan seperti tiket kapal terbang, penginapan di Airbnb serta pakej pelancongan harian di KLOOK dan KKDAY telahpun dibuat rapi sejak September 2019 lagi.

Hari demi hari, saya dan rakan semakin cemas apabila virus Covid-19 telah mula tercetus pada 31 Disember 2019 dan mula merebak dengan pantas ke seluruh dunia. Lebih membimbangkan, semakin dekat tarikh pelancongan kami, semakin tinggi jugalah statistik Covid-19 di Malaysia dan juga Australia.

Apa yang saya dan rakan saya khuatirkan, ialah kerajaan Australia akan mula menyekat kemasukan pelancong dari luar ataupun kerajaan Malaysia pula yang akan menyekat penerbangan dari Malaysia ke negara-negara terjejas seperti yang telah dilakukan oleh beberapa negara seperti China dan Korea. Memang boleh dikatakan sepanjang perkembangan dan peningkatan Covid-19 ni, kami berdua sangat berdebar dan tertekan kerana khuatir terdapat apa-apa perubahan dan duit titik peluh serta usaha perancangan kami akan terbazir begitu sahaja.

Pada tanggal 4 Mac 2020, saya telah dimasukkan ke wad atas faktor kesihatan setelah batuk berpanjangan melebihi 2 bulan. Lama jugalah ditahan di wad. Pada 16 Mac barulah saya dibenarkan untuk bekerja semula.  Jarak antara tarikh kami melancong hanya tinggal 4 hari. Namun saya berasa besar kemungkinan kami takkan dapat melancong. Pertamanya kerana faktor kesihatan saya, yang kedua pula, atas faktor pengumuman Covid-19 sebagai pandemik di seluruh dunia oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada 11 Mac 2020.

Atas dasar ini, saya telah meminta pandangan daripada doktor yang merawat saya dan beliau telah menasihati saya untuk tidak melancong. Malah beliau juga bersetuju untuk mengeluarkan satu surat doktor untuk mengesahkan bahawa saya tidak sihat untuk melancong bagi tujuan pembatalan tempahan tiket penerbangan, penginapan dan pakej-pakej pelancongan.

Rupa-rupanya dalam polisi penerbangan dan tempahan penginapan, terdapat klausa yang membenarkan pembatalan tempahan dengan  jika seseorang telah disahkan oleh doktor bahawa beliau tidak sihat untuk meneruskan perjalanan dengan pemulangan wang 100%.

Untuk tidak mengambil risiko membahayakan keselamatan diri, saya telahpun membuat permohonan pembatalan tempahan di Airbnb di bawah polisi 'Extenuating Circumstances'

Diambil dari laman web Airbnb

Untuk maklumat tentang senarai extenuating cricumstances ini, boleh rujuk laman ini:
https://www.airbnb.com/help/article/1320/what-if-i-need-to-cancel-because-of-an-emergency-or-unavoidable-circumstance


Antara keadaan kecemasan atau tidak dapat dielakkan yang tersenarai dalam polisi ini adalah seperti berikut:

Diambil dari laman web Airbnb
Ini bermakna jika terdapat kematian ahli keluarga, ataupun anda sendiri telah jatuh sakit atau tercedera, anda boleh memohon pulangan wang 100% tanpa sebarang penalti. Yang penting, anda cuma perlu dapatkan bukti dan surat sokongan yang diminta.

Prosesnya pula? Hanya perlu pergi ke tempahan Airbnb anda dan tekan batalkan tempahan (cancel reservation). Selepas itu, anda akan diberikan pecahan tentang jumlah pemulangan wang yang anda layak. Jika pembatalan awal, iaitu biasanya 14 hari sebelum tarikh penginapan, akan dapat pemulangan wang 100% tanpa sebarang surat-menyurat. Namun dalam kes saya, pembatalan hanya seminggu sebelum tarikh penginapan, jadi terdapat jumlah yang tidak dipulangkan.


Jadi dalam hal saya, saya perlu membuat permohonan pemulangan wang tanpa penalti dengan menghantar mesej kepada hos saya.

Mesej kepada hos untuk menyatakn sebab kita membuat pembatalan

Pada masa yang sama, hubungi juga Airbnb Support tentang tuntutan baki wang kita.

Jangan lupa hantra mesej pada Airbnb Support.


Alhamdulillah dalam masa seminggu, pihak Airbnb telah memberikan maklumbalas dan meminta surat pengesahan daripada doktor.



Selepas sesalinan surat pengesahan dihantar, dengan pantas Airbnb Support menerima bukti sokongan saya dan meluluskan tuntutan baki duit tempahan saya. Antara banyak-banyak tuntutan pengembalian wang, Airbnblah yang paling pantas dan efisien sekali.

Weee... dapat balik duit. Boleh shopping.

Senang kata, memang pengalaman membuat pembatalan tempahan dengan Airbnb ni sangat mudah dan pantas. Pemulangan sebahagian wang pertama dibuat sehari selepas saya batalkan tempahan (batalkan 13 Mac, dapat balik duit 14 Mac). Pemulangan baki yang selebihnya pula, bukti dihantar pada 21 Mac dan pemulangan wang dilakukan oleh Airbnb pda 24 Mac 2020. Memang terbaiklah!

Baiklah, sekian perkongsian kali ini. Harap membantu korang yang mungkin memerlukan. Da~~



No comments:

Post a comment