Monday 15 October 2018

Bolehkah Bersalin Normal Sebaik Selepas Bersalin Secara Pembedahan (Caesarean)?


Hai semua,

Bagi mereka yang pernah bersalin caesarean, tentu rasa cuak bila mengandung semula especially kalau kehamilan selepas caesarean tu kurang daripada 2 tahun daripada kelahiran sebelum ni.

Biasalah, lepas bersalin secara caesarean saja, mesti ibu tersebut akan dinasihatkan untuk merancang kelahiran yang seterusnya dan sebaik-baiknya berehat selama 2 tahun sebelum kelahiran yang seterusnya.

Parut pun tak baik lagi dah mengandung lagi. Tentu tak keruan.

Tapi biasalah, manusia hanya merancang dan tuhanlah yang menentukan Kadang-kadang, dah rezeki, takkanlah nak ditolak pula? Tapi pada masa yang sama tentu ibu-ibu rasa trauma dan serik untuk melalui proses mengandung dan kelahiran memandangkan luka lama masih belum pulih sepenuhnya. Al-maklumlah, kelahiran secara caesarean ni, biasanya mengambil masa 3 bulan -6 bulan untuk sembuh. Kalau tidak, batuk sakit, jalan bumpy pun sakit, semuanya serba tak kena. Lagilah masa waktu mula-mula dibedah dulu, nak bangun pun tak larat rasanya. Apa lagi nak uruskan bayi yang baru lahir tu. Bayangkan pula kalau mengandung dekat-dekat. Bukan sahaja kena jaga bayi yang baru lahir, malah juga kena jaga anak yang sedia ada. Memang cabaran betullah!

Bagi saya yang pernah merasai kedua-dua jenis proses melahirkan, jujur saya kata, bersalin secara caesarean ni jauh lagi menyakitkan dan proses untuk sembuh pun jauh lebih lama daripada ibu-ibu yang bersalin secara normal. Jadi, tak perlulah kata or pertikaikan ibu caesarean ni tak merasai nikmat melahirkan atau komen-komen negatif yang lain. Bukannya semua pilih untuk dibedah, kadangkala ada komplikasi yang membuatkan mereka terpaksa melahirkan secara pembedahan.

Saya yakin, ramai ibu-ibu yang pernah melalui situasi ini ataupun sedang berdepan dengan situasi ini. Jadi saya rasa bagus jika saya dapat berkongsi serba sedikit tentang pengalaman saya sendiri supaya dapat dijadikan rujukan kepada para ibu-ibu di luar sana.

Diharap, maklumat dan pengalaman yang saya kongsikan ini berguna untuk anda semua.

Situasi saya:

Mula-mula sekali, biar saya ceritakan serba sedikit tentang pengalaman saya melahirkan. Anak sulung, bersalin secara caesarean pada Julai 2011 kerana fetal distress sebaik selepas induction. Sepanjang kelahiran saya tak ada mengalami masalah kesihatan. Memang kira emergency keslah caesar ni. Boleh baca kisah penuh kelahiran Mia dalam blog post sebelum ni.

Dua bulan selepas tu, saya disahkan mengandung semula. Alhamdulillah, anak kedua selamat dilahirkan pada Ogos 2012 secara normal.


Kenapa Pilih Bersalin Secara Normal Walaupun Pernah Caesar?

Sejujurnya, apabila tahu saya mengandung semula selepas bersalin, saya jadi tak tentu arah. Mula-mula sekali, biasalah, malu bila orang tahu saya mengandung rapat. Keduanya, baru cuti bersalin dah cuti lagi Ketiga, faktor kewangan. Keempat, kesian kat anak sulung. Kelima, tak habis lagi trauma bersalin caesar secara emergency. Keenam, luka pun tak sembuh sepenuhnya. Macam-macam lagilah yang bermain di fikiran saya masa tu. Serius stress.

Tapi saya yakin, mesti sebelum saya, ramai yang pernah berada dalam situasi ni. Jadi saya kumpul macam-macam informasi tentang kelahiran normal selepas bersalin caesar dalam jangka masa pendek. Terbukti, ramai yang pernah melaluinya.

Sebenarnya, boleh saja kalau nak pilih bersalin caesar untuk kali kedua. Tapi saya kalau boleh tak nak caesar buat kali kedua kerana:

1. Kalau dah bersalin caesar dua kali berturut-turut, seterusnya memang kena bersalin caesar sahaja. Biasanya hospital kerajaan maksimum tiga kali kelahiran caesarean dan hospital sweasta maksimum 5 kelahiran. Anda kalau tak silap world record sampai belas-belas juga kelahiran. Jadinya, saya tak mahu hadkan nombor kelahiran atau bilangan anak saya. Sebab tu saya mahu bersalin normal. Memetik kata-kata doktor yang memujuk saya waktu saya dibedah secara kecemasan, bersalin caesarean sekali is as good as tak pernah caesar.

Anak tu rezeki... So I wanna to at least to have option to get more kids... Maybe not now... But at least I have the option.


2. Saya nak bersalin normal kerana saya tahu betapa sakitnya bersalin caesar dan betapa lamanya proses untuk sembuh. Jadi saya serik untuk melaluinya semula, saya tekad untuk bersalin normal jika diizinkan Allah s.w.t. Lagipun, saya tak boleh bayangkan dibedah semula di tempat yang sama. Ngilu bila memikirkannya. Dan tentunya parut tersebut akan mengambil masa lebih lama untuk pulih.

3. Kos bersalin secara caesarean sudah tentunya lebih tinggi daripada kos bersalin normal. Selain caj pembedahan yang mahal iaitu mencecah RM2,000 jika di hospital kerajaan dan sekitar RM5000-RM15,000 di hospital swasta, kena pertimbangkan juga kos lain-lain contohnya caj wad, caj komplikasi (kalau ada) dan macam-macam lagi. Jadi, kalau boleh jimat, siapa pula nak spend duit banyak-banyak? Ya tak?

4. Tempoh permerhatian bersalin caesarean lebih panjang berbanding bersalin normal. Kalau normal, mungkin pagi bersalin, petang dah boleh balik kalau tak ada komplikasi. Tapi kalau bersalin secara caesar, tempoh pemerhatian minimum ialah 3 hari. Kalau anak kuning, mak muntah bagai, lagi lah kena extend.

5. Cara berpantang untuk caesarean lebih rumit dan lama. Tak boleh berurut macam biasa, tak boleh makan jamu, tak boleh tu tak boleh ni. Lagipun kalau bersalin caesar, mau 2 minggu jugak baru boleh turun katil and beraktiviti macam biasa. Tapi kalau normal, seminggu je dah rasa sihat dah.


Apa Faktor Penentu Mampu Bersalin Normal Selepas Caesarean?

Seperti yang saya katakan tadi, manusia cuma merancang, tapi tuhan yang menentukan. Kalau anda lulus dalam faktor-faktor penentu di bawah, insyallah kemungkinan anda untuk bersalin normal selepas caesarean adalah lebih tinggi, apa-apa pun, semuanya adalah di atas izinnya:

1. Mental
First of all, mental kena kuat. Tak semua doktor nak ambil risiko untuk benarkan pesakit mereka bersalin secara normal setelah melalui caesarean. Terutamanya bagi mereka yang jarak kelahirannya dekat-dekat. Jadi, kat sini mental kena kuat. Kalau boleh cari doktor yang bersetuju untuk bantu kita melahirkan kelahiran seterusnya secara normal. Dalam kes saya, saya tiada doktor tetap sebab saya memilih untuk bersalin di PPUM (separa kerajaan) bagi menjimatkan kos. Jadi, doktor saya saling bertukar ganti. Ada yang menyokong tindakan saya, ada yang tidak.

2. Pemulihan Parut
Sepanjang kehamilan kedua, doktor akan meminta saya memantau pemulihan parut caesarean saya. Menurut doktor, kalau parut pulih dan sembuh elok, maka kebarangkalian untuk saya bersalin secara normal lebih tinggi. Ini adalah kerana kehamilan akan membuatkan parut tersebut meregang semula dan kontraksi pula akan memberikan tekanan pada parut. Jadi adalah penting untuk memastikan parut pulih dengan baik dan dapat menampung tekanan kehamilan dan kontraksi. Kalau parut sakit atau berdarah kembali, kena maklumkan segera pada doktor bagi mengelakkan komplikasi.

3. Berat dan Saiz Bayi
Berat dan saiz bayi juga menjadi penentu sama ada anda mampu bersalin secara normal atau tidak. Oleh kerana kandungan pertama saya caesar, saya masih tidak mempunyai laluan dan jika saya bersalin normal, sama sahaja seperti bersalin kali pertama. Laluannya akan mengambil masa untuk dibuka. Menurut doktor, kalau saya nekad untuk bersalin normal, saya kena pastikan saya dapat kawal berat dan saiz bayi kurang daripada 3kg supaya lebih mudah untuk saya melahirkan. Jadi, saya berusaha untuk tidak makan berlebihan dan mengurangkan pengambilan karbo. Berat bayi kena pantau teruatamnya pada hujung kelahiran sebab pada bulan terakhir, berat bayi bayi mudah meningkat dan boleh meningkat sehingga 500 gram sehingga 1kg setiap minggu. Alhamdulillah, saya dapat kawal berat Hariz pada 2.7kg.

Biarkan baby gemuk selepas dilahirkan... 

4. Kontraksi dan Tempoh Laluan Dibuka
Lain orang lain kontraksinya. Ada yang lemah dan ada yang kuat. Begitu juga dengan tempoh laluan dibuka, ada yang cepat dan ada yang lambat. Oleh kerana saya hamil jarak dekat selepas caesarean, saya tak boleh diinduksi atau induce dalam kata mat sallehnya. Menurut doktor, induced birth boleh menyumbang kepada caesarean. Doktor juga berkali-kali memberi amaran bahawa saya tidak boleh menahan kontraksi terlalu lama. Kalau ada sebarang komplikasi contohnya, parut sakit sewaktu kontraksi, atau laluan mengambil waktu terlalu lama untuk dibuka, mereka takkan teragak-agak untuk melakukan pembedahan. Mujurlah sepanjang 10 jam kontraksi, parut tak sakit, dan doktor tetap membenarkan saya cuba untuk bersalin normal walaupun setiap sejam diugut akan dibedah.

5. Lain-lain
Semua yang berlaku di dunia ini adalah atas izinNya. Jadi tak kiralah setekad mana pun kita untuk sesuatu, jika telah ditakdirkan sebaliknya, maka kita tetap juga takkan dapat apa yang kita mahukan. Terdapat 1001 lagi faktor yang boleh membuatkan keputusan yang kita ambil itu tidak dapat diteruskan. Contohnya, bayi songsang, ibu ada darah tinggi, air ketuban kurang, bayi pra-matang, bayi dah berak dan sebagainya.

Senang kata,sebagai manusia, kita cuma boleh berusaha dan berdoa supaya kita dapat apa yang kita hajati. Apa-apa pun, usaha tu penting. Saya doakan yang terbaik bagi semua ibu-ibu yang bercadang untuk bersalin secara normal setelah melalui proses kelahiran secara pembedahan.

Apa sekalipun, pasti ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Insyallah Amin.

Ikhlas,
Prettily Rare



Untuk baca pengalaman bersalin saya sebelum ini:

Pengalaman Bersalin Caesar di PPUKM/HUKM
Pengalaman Bersalin Normal di PPUM

2 comments:

  1. setakat ini semua anak rezeki bersalin normal. harapnya yang akan datang jangan ceaser. seram lihat kawan2 yang ceaser. tapi itulah pengorbanan seorang ibu.

    ReplyDelete
  2. Seriau juga tengok luka czer. tapi untuk yang terpaksa sebab emergency, mesti ada hikmah

    ReplyDelete